KUCHING: Seramai 1,112 pemohon dengan pembiayaan berjumlah RM63 juta diluluskan di bawah Skim Pembiayaan Perumahan Mutiara.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia dengan kadar keuntungan ditawarkan serendah satu peratus dan margin pembiayaan sehingga 100 peratus.
Beliau berkata, 81 peratus daripada jumlah itu ialah golongan berpendapatan rendah, tidak tetap yang bekerja dengan syarikat swasta atau bekerja sendiri.
“Tiada rekod tunggakan kutipan bayaran bulanan pembiayaan perumahan itu setakat ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) di sini.
Abang Johari menjelaskan, ini membuktikan pelanggan Mutiara Mortgage menghargai inisiatif yang ditawarkan Kerajaan Sarawak selain bertanggungjawab dan memahami nilai rumah kediaman yang perlu dijaga.
Menurut Ketua Menteri, inisiatif HDAS yang ditawarkan kepada golongan B40 dan M40 di Sarawak untuk membantu pemilikan kediaman sendiri dan skim seumapannya yang julung kali diperkenal di negara ini.
Melalui skim khas itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan deposit sebanyak 10 peratus atau maksimum RM10,000 sebagai deposit pembelian rumah mampu milik kepada pembeli rumah pertama sekali gus membantu rakyat dalam golongan yang berpendapatan rendah.
Selain itu, katanya, HDAS turut diperluas bagi pemilik tanah yang ingin membina rumah di atas tanah sendiri dan milikan tanah mestilah tanah yang diperuntuk oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula.
Ketua Menteri menegaskan, matlamatnya untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyat dan memastikan mereka tidak ketinggalan menikmati kepesatan arus pembangunan negeri dan memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti.
Pelbagai usaha dilaksanakan untuk memperkasakan usaha Mutiara Mortgage seperti memperkenalkan Pakej Pembiayaan Perumahan Patuh Shariah yang komprehensif, tambahnya.
Pakej itu, kata Ketua Menteri, mendapat Persijilan Pematuhan Shariah sejak Januari 2021 dan Pakej Pembiayaan Perumahan itu turut diiktiraf oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), melayakkan pelanggan untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP bagi tujuan pengeluaran deposit perumahan, bantuan bayaran bulanan dan pengurangan baki pembiayaan.
Di samping itu, katanya, kemudahan pembiayaan perumahan yang ditawar layak mendapat pengecualian duti setem di bawah Akta Setem 1949.
Bagi inisiatif membina rumah di atas tanah sendiri, beliau berkata, Mutiara Mortgage akan memperkenalkan Program Rumah Spektra Mutiara dengan kos permbinaan rumah akan dibiayai oleh Mutiara Mortgage melalui produk Mutiara Dream Home Financing Schemee (MDHFS).
Harga kos pembinaan dianggarkan berjumlah sekitar RM90,000 hingga RM160,000 yang akan dibiayai melalui pembiayaan perumahan dengan MUTIARA, katanya dan menambah, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Sarawak Rental Assistance Scheme (SRAS) iaitu skim bantuan sewa kediaman sebanyak RM200 sebulan selama 36 bulan.
Sumber dari : Jiwa Bakti